Apa itu Takaful?
Takaful adalah kata terbitan bahasa arab “kafala”
yang bermaksud “jamin” dan perkataan Takaful membawa maksud saling
menjamin. Istilah Takaful telah digunapakai dalam konteks insurans
secara Islam. Ia merupakan satu perjanjian antara sekumpulan peserta
untuk saling menjamin antara satu sama lain apabila berlakunya musibah
atau kerugian tertentu.
Konsep saling menjamin atau insurans ini telah wujud sekian lama. Salah satu daripadanya ialah penggunaan konsep “Aqilah”
yang digunapakai oleh masyarakat Arab jahiliyah. Keadaan bangsa Arab
yang tinggal dalam bentuk kesukuan atau kabilah membolehkan amalan ini
dilakukan. Sekiranya berlaku pergaduhan dan menyebabkan kematian satu
pihak maka pihak yang membunuh akan dikehendaki membayar ganti rugi
kepada keluarga orang yang terbunuh. Bayaran ganti rugi itu akan dikutip
di kalangan ahli suku atau Kabilah si pembunuh. Ia merupakan satu
bentuk jaminan yang wujud pada ketika itu.
Takaful yang wujud pada hari ini pula adalah Takaful berbentuk perniagaan (Tijari)
di mana sebuah syarikat menjalankan satu bentuk perniagaan yang
bertujuan untuk memberikan jaminan yang berlandaskan Syara’ iaitu
terhindar daripada unsur Riba (bunga), Maisir (perjudian) dan Gharar (ketidakpastian). Untuk tidak terlibat dengan unsur-unsur tersebut, perniagaan Takaful menggantikannya dengan konsep Tabarru’ (derma) dan perjalanan operasinya menggunakan dua konsep muamalah Islam iaitu konsep “Mudharabah” dan “Wakalah”.
Dalam
kontrak Takaful ini, peserta bersetuju untuk saling menjamin antara
mereka. Ia berasaskan kepada sifat persaudaraan, kasih sayang dan saling
bantu membantu. Dikatakan demikian kerana sumbangan wang yang diberikan
oleh peserta akan dikumpulkan dan wang tersebut digunakan untuk
membayar pampasan kepada peserta yang mengalami musibah atau kerugian.
Perbezaan antara Takaful dan Insurans
Takaful
dan Insurans mempunyai tujuan yang sama iaitu memberikan jaminan dan
bantuan kepada peserta dalam bentuk kewangan. Namun di antara keduanya
terdapat perbezaan yang besar. Perbezaan yang wujud dapat dilihat
daripada beberapa sudut berikut:
Hukum
Perniagaan
Takaful adalah halal dan umat Islam harus menyertainya sementara
perniagaan insurans telah diputuskan haram oleh Majlis Fatwa Kebangsaan
dan juga majlis-majlis fatwa lain. Perniagaan insurans mengandungi unsur
Riba, Maisir dan Gharar. Maka membeli polisi insurans dan segala hasil
pendapatan daripada syarikat inurans adalah haram.
Kontrak asas yang digunapakai
Dalam Insurans konvensional kontrak yang digunapakai ialah kontrak pertukaran (Mu’awadat) iaitu dalam bentuk jual beli. Sementara Takaful menggunakan kontrak derma (Tabarru’)
Kontrak-kontrak lain
Dalam
Insurans konvensional tidak terdapat kontrak-kontrak lain selain
kontrak jual beli. Tetapi dalam Takaful, digunakan kontrak wakalah
(agensi) dan kontrak Mudharabah (perkongsian untung rugi)
Tanggung jawab pemegang polisi
Peserta
Takaful akan menyumbang caruman untuk saling menjamin di antara semua
peserta sementara pembeli insurans akan membayar premium kepada
penanggung insurans. Penyertaan Takaful merupakan satu akad di kalangan
peserta tetapi pembelian insurans adalah satu kontrak di antara
penginsurans dan pemegang polisi.
Saluran pelaburan
Pelaburan
kumpulan wang Takaful akan dilaburkan melalui instrumen pelaburan yang
diharuskan dan pelaburan ini hanya akan dilakukan ke atas
syarikat-syarikat yang telah dikelaskan sebagai patuh Syariah. Penentuan
ini adalah berdasarkan senarai patuh Syariah yang dikeluarkan oleh
Suruhan Jaya Sekuriti (SC).
Pelaburan
syarikat insurans pula adalah bebas kepada semua jenis instrumen tidak
mengira sama ada halal atau tidak. Ini termasuklah pelaburan ke atas
syarikat perjudian dan arak.
Perjalanan operasi
1. Syarikat
Takaful mempunyai Majlis Penasihat Syariah yang bertanggung jawab
memberikan nasihat terhadap segala aktiviti termasuk pelaburan. Selain
itu syarikat Takaful juga mempunyai unit Syariah yang berperanan sebagai
sekretariat kepada Majlis Penasihat Syariah. Syarikat
insurans tidak mempunyai bahagian penasihat Syariah kecuali Syarikat
MCIS Zurich Insurance. Walaupun begitu, penasihat Syariah ini hanya
memberi nasihat dalam bebarapa perkara tertentu sahaja. Namun perjalanan
operasinya masih lagi peniagaan insurans konvensional.
2. Pengendali-pengendali
Takaful di Malaysia menggunakan dua model perniagaan Takaful iaitu
model Mudharabah (perkongsian untung rugi) dan model Wakalah (agensi).
Kebanyakan pengendali Takaful menggunakan model Wakalah dan model
Mudharabah digunakan oleh Syarikat Takaful Malaysia Berhad.
3. Segala
hasil tidak halal yang diperolehi oleh pengendali Takaful tidak akan
dikira sebagai pendapatan syarikat sebaliknya akan dimasukkan ke dalam
tabung kebajikan. Syarikat insurans tidak mempunyai unsur ini.
4. Pengendali Takaful wajib membayar zakat perniagaan dan cukai tetapi syarikat insurans hanya membayar cukai.
Aspek perundangan
Pengendali
Takaful tertakluk kepada Akta Takaful 1984 sementara syarikat insurans
tertakluk kepada Akta Insurans 1963 (pindaan 1996).
Sebelum
kewujudan Takaful, umat Islam terpaksa membeli polisi insurans. Tetapi
kini dengan wujudnya banyak syarikat pengendali Takaful, maka ia bukan
lagi menjad arternatif atau pilihan kepada umat Islam tetapi seharusnya
umat Islam menolak insurans konvensional dan menyertai Takaful.
Mudah-mudahan industri Takaful dan sistem kewangan Islam di Malaysia
akan terus perkembang dengan subur agar dapat memartbatkan Syariat Islam
yang syumul.