Saturday 22 October 2011

Kenapa Perlu Miliki Polisi Takaful & Kad Perubatan Peribadi Jika Majikan Dah Sediakan?


Pertama sekali, tahniah bagi syarikat-syarikat yang telah menyediakan takaful & manfaat perubatan kepada pekerja-pekerjanya. Ini menunjukkan bahawa syarikat tersebut prihatin terhadap pekerja-pekerjanya. Namun begitu, ada beberapa perkara yang perlu dipertimbangkan keperluan memiliki polisi takaful dan kad perubatan peribadi. Berikut adalah perkara-perkara yang perlu anda fahami:-

TEMPOH PERLINDUNGAN TERHAD

Kebiasaannya, majikan akan hanya memberikan perlindungan takaful dan manfaat perubatan adalah sepanjang anda bekerja dengannya atau sehingga tarikh persaraan (lebih kurang 50 hingga 60 tahun)

Semua faedah tersebut akan hilang serta merta apabila anda bertukar kerja, diberhentikan kerja, menghidapi penyakit atau hilang upaya/lumpuh sebab penyakit atau kemalangan sehingga tidak boleh bekerja lagi.

NOTA: Dengan memiliki takaful dan kad perubatan peribadi, ia melindungi anda dengan tempoh perlindungan sehingga 80 (tempoh matang) selagi mana dikuatkuasakan.

POLISI SIJIL & MANFAAT PERLINDUNGAN MILIK MAJIKAN 100%

Majikan merupakan PESERTA (pemilik polisi sijil) yang memberikan perlindungan takaful dan manfaat perubatan kepada anda selaku ORANG YANG DILINDUNGI (COVERED PERSON). Bermaksud polisi sijil dan manfaat perlindungan adalah milik majikan 100% dan berhak terhadap penyerahan manfaat tersebut selagi tiada perjanjian bertulis yang boleh dikuatkuasakan menyatakan penyerahan manfaat 100% kepada waris anda.

Ini bermakna:-

(a) Majikan anda berhak mengubah pada bila-bila masa untuk mengurangkan (reduce) jumlah Perlindungan Asas polisi sijil anda atau mengurangkan (downgrade) manfaat tambahan/rider.

(b) Majikan berhak untuk menghentikan/tidak memperbaharui pelan polisi sijil ke atas anda (mungkin kerana ingin menjimatkan kos atau berlaku masalah kewangan).

(c) Majukan berhak menentukan jumlah perlindungan asas dan manfaat tambahan yang akan dibayar/diberikan kepada anda mengikut budi bicaranya.

(d) Tindakan majikan ini boleh menjejaskan manfaat, faedah dan perlindungan kepada anda jika musibah berlaku kepada anda.

NOTA: Dengan memiliki polisi takaful dan kad perubatan peribadi, anda merupakan PESERTA (pemilik polisi) dan anda jugalah ORANG YANG DILINDUNGI (COVERED PERSON). Jadi, anda berhak 100% terhadap polisi sijil tersebut seperti menentukan pewaris terhadap penyerahan manfaat perlindungan 100% melalui HIBAH dan membuat sebarang perubahan pada polisi sijil.

MILIKI PERLINDUNGAN KETIKA SIHAT

Ramai orang yang berpendapat bahawa mereka akan mengambil perlindungan takaful dan kad perubatan hanya selepas mereka bersara kelak sahaja. Mungkin kerana ketika itu dengan menerima wang persaraan barulah mereka berhasrat untuk mengambilnya.

Realiti yang perlu diketahui adalah anda masih sempat mengambil perlindungan takaful dan kad perubatan selepas bersara hanya jika keadaan kesihatan anda masih mengizinkan (sihat 100%)

Jika keadaan sudah teruk selepas bersara, mana-mana syarikat takaful sukar untuk memberikan perlindungan takaful dan kad perubatan kepada anda. Maka, segala kos perubatan dan kos sara hidup tambahan terpaksalah anda tanggung sendiri menggunakan wang persaraan yang ada.

NOTA: Kos perlindungan takaful dan kad perubatan peribadi ketika usia muda adalah lebih murah berbanding pada usia anda sudah meningkat. Peningkatan kos perlindungan selaras dengan faktor peningkatan usia yang disebabkan kadar risiko kematian, hilang upaya dan penyakit yang juga meningkat.

APAKAH MANFAAT & FAEDAH YANG DIBERIKAN MAJIKAN?

Ramai pekerja mengambil sikap tidak mahu ambil tahu apakah faedah dan manfaat perlindungan takaful dan kad perubatan yang disediakan oleh majikan.

Cuba SEMAK dengan majikan anda terhadap perlindungan takaful dan kad perubatan kepada diri anda, pasangan anda, anak-anak, seperti berikut:-

1. Jumlah perlindungan Khairat Kematian termasuk akibat dan punca kematian. Sejauh mana skop perlindungan yang diberikan? Adakah ia hanya meliputi musibah berpunca dari kemalangan sahaja atau termasuk punca semulajadi? Adakah ia terhad kepada waktu kerja sahaja atau sehingga had umur tertentu sahaja.

2. Berapakah jumlah perlindungan Hilang Upaya Kekal Keseluruhan akibat daripada kemalangan atau penyakit? Bagaimana syarat dan kaedah bayaran ditentukan?

3. Berapakah jumlah manfaat Gantirugi Kemalangan? Apakah jenis kemalangan yang tergolong dalam manfaat ini? Bagaimana syarat dan kaedah bayaran ditentukan?

4. Berapakah jumlah maksimum tanggungan Bil Perubatan Hospital setahun dan jumlah keseluruhan? Adakah ia menanggung bil perubatan untuk semua termasuk isteri & anak-anak? Apakah syarat-syarat tanggungan dan adakah wujud limitasi tanggungan?

5. Adakah disediakan dan berapakah jumlah Elaun Harian bagi kemasukan wad hospital?

6. Siapakah penerima faedah dan manfaat perlindungan takaful? Adakah faedah dan manfaat tersebut akan diserahkan 100% kepada anda atau terpulang kepada budi bicara majikan? Adakah perjanjian bertulis dibuat sebagai rujukan masa hadapan?

7. Apakah syarat-syarat dan prosedur jaminan dan tuntutan? Kepada siapa hendak dirujuk? pegawai urusan tuntutan atau agen?

KESIMPULANNYA

Jadikan perlindungan takaful dan kad perubatan peribadi sebagai perlindungan utama kebajikan keluarga anda, walaupun majikan anda sudah menyediakannya. Perlindungan takaful dan kad perubatan yang disediakan dari majikan patut dianggap sebagai "bonus tambahan" sahaja kerana ia hanya melindungi anda SELAGI ANDA MASIH BEKERJA dengan mereka.

*MAA Takafulink Siries menyediakan pelbagai pelan perlindungan takaful + kad perubatan + simpanan dan dana pelaburan Syariah.

No comments:

Post a Comment